Dingin Hati Yang Beku

RM 25.00

Sinopsis Novel

Orked benar-benar terperanjat dengan apa yang dilihatnya di hadapan mata. Sungguh tidak disangka-sangka. Memang dia datang ke pejabatnya awal pagi itu. Kemudian dia membaca e-melnya. E-mel itu yang membawa dia mengetuk pintu bilik lelaki itu, mahu bertanyakan aturcara seminar yang perlu dihadirinya.
Namun apa yang dilihat di dalam bilik lelaki itu membuatkan jantungnya mahu gugur dan berdetap-detap.
“Gugur jantung aku, Hasna. Tak adakah lelaki lain yang nak kau kahwini?”
“Salahkah?”
Sinis sahaja pertanyaan Hasna. Orked faham, dalam keadaan begini Hasna mahu mempertahankan dirinya. Hasna juga malu kerana dia dapat membongkar hubungan Hasna dengan lelaki yang dianggap baik dan penyayang itu.
“Salah!”
Tegas jawapan Orked. Dia mahu Hasna tahu betapa dia tidak suka dengan lelaki yang dipilih oleh Hasna.
“Itu hak kami. Kami saling mencintai, Orked.”
“Itu hanya ilusi. Rasa cinta kerana kalian berdua hari-hari berjumpa. Isteri dengan anak-anak dia tak nampak. Tapi nanti bila kau berkahwin dengan dia, bukan saja melibatkan kau dengan dia. Turut melibatkan isteri pertama yang bukan saja harus dijaga hatinya, tapi wajib dirahsiakan perkahwinan kau dengan dia supaya si isteri tidak terluka. Bagi kau itu adilkah? Kau juga isteri dia, tapi kau tak berhak apa-apa. Kau terpaksa menutup mulut, terpaksa berpura-pura yang kau tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Setiap detik kau akan hidup dalam ketakutan, bukannya rasa bahagia.”
Hasna membeku. Dia bukan tidak memikirkan mengenai kemungkinan begitu, tetapi lelaki itu telah berjanji dengan pelbagai janji yang menyebabkan hatinya sudah tidak berbelah bahagi.
“Aku percaya kami akan bahagia.”
“Kau rasa boleh bahagia hidup kalau bukan saja hati kau diikat, tapi mulut kau turut ditutup? Pergerakan kau terhad dan kau diperangkap sehingga satu masa nanti kau akan jadi lemas.”
Hasna diam. Membantah kata-kata yang benar itu seperti tidak kena sahaja. Dia sendiri sebenarnya sudah banyak kali berfikir. Walau dia rasa dia cintakan lelaki itu, sanggupkah dia menghadapi kehidupan bila lelaki itu terpaksa melebihkan isteri pertamanya?
“Kau tahu, dia selalu dianggap lelaki terbaik. Lelaki yang sangat sayangkan isterinya. Lelaki yang sentiasa menganggap isteri pertamanya sebagai bidadari. Sanggupkah kau mendengar puji-pujian terhadap isteri pertama setiap masa sedangkan tak ada sesiapa yang tahu kau juga isterinya. Kau tak ubah seperti perempuan simpanan!”
Hasna menopang kepalanya. Terasa sangat berat memikirkan kata-kata Orked itu. Benar, dia tidak menafikannya. Tiba-tiba dadanya rasa sesak.
“Dia lelaki yang baik. Dia baik dengan aku juga, Orked.”
“Kita akan kenal seseorang setelah dia menjadi pasangan kita. Aku tak kisah kau nak kahwin dengan suami orang. Kahwinlah. Tapi janganlah disorok perkahwinan tu. Beradablah. Bukan saja dengan kau, keluarga kau… tapi beradablah dengan isteri pertama juga. Kalau dia tak beritahu isterinya yang dia mahu berkahwin, bermakna dia tidak beradab. Dia kurang ajar. Pentingkan diri sendiri.”
Lelaki yang selalu memuji isteri, selalu menunjukkan sikap romantis dan baik, rupanya mencintai perempuan lain. Bagaimana betah cintanya berubah arah?
Ahhh, kenapa dipersoalkan hal hati? Bukankah hati manusia boleh berubah? Bukankah cinta itu boleh dibahagi-bahagi? Orked mengeluh perlahan.
“Hasna, aku minta maaf. Aku tak sengaja. Tertengok. Tapi kita dah dewasa. Kita orang Islam. Tak baik begitu. Bergelak ketawa, bertampar-tampar, mengucap kata cinta, aku sayangkan kau… Walau tak kenal kau lama, tapi aku tak sanggup melihat kau menahan rasa satu masa nanti.”


Anda mungkin suka

Sejam RM2.50

RM29.00